Tuesday, September 8, 2009

Sekilas rasa hati

Batang buluh dikerat-kerat
Buat menongkat si pohon lada
Hati gundah terasa berat
Mengenang urusan masih tertunda

Kaki melangkah terasa berat
Meninggalkan desa indah dan permai
Hari berlalu umur meningkat
Bilakah masa cita-cita tercapai

Anak ikan si anak udang
Bermain-main di daun kangkung
Sebesar-besar gunung dipandang
Besar lagi masalah ditanggung

Ambil selendang sangkut ke bahu
Cantik sepadan berbaju kurung
Untung nasib belum ku tahu
Adakah rezeki memperoleh untung

Walau pun sukar diri gagahi
Berkorban nyawa sanggup kernanya
Segala berlaku ketentuan ILLAHI
Siapa lah kita nak mempertikaikannya

Sunday, September 6, 2009

Pertengahan Ramadhan

Sinar mentari menyapa lembah
Berarak awan ditiup badai
Duduk sendiri terasa lelah
Menunggu kawan tak kunjung sampai


Siapa punya ulam pegaga
Enak hidangan letak dipiring
Hati tertanya terdetik menduga
Siapa gerangan yang datang seiring


Kalau sampan hilir ke baroh
Bawa sekali setandan nyior
Kolam ikan di Sungai Buloh
Membiak keli beribu ekor

Ukir gelang silang menyilang
Cincin perak disadur besi
Kuda riang bukan kepalang
Tangkas bergerak mempamer aksi

Monday, August 24, 2009

Ramadhan 2009

Mentari petang dilindung awan
Cuaca redup terasa senang
Tirai senja berlabuh perlahan
Ramadhan yang dirindu kembali menjelang

Pokok buluh melentur rendah
Gugur daunnya menimpa kepala
Ramadhan mulia penuh barakah
Tempat insan mengumpul pahala

Selera sungguh aroma makanan
Juadah dihidang lauk dan kuih
Wajah manis berjabat tangan
Sama berdiri menunai terawih

Rahmat diterima dari Illahi
Membalut duka di hati insan
Sayang menyayang kasih mengasihi
Duduk bertadarus sesama rakan

Azan dilaungkan merdu sekali
Manusia bersiap menyahut panggilan
Juadah berbuka sedap sekali
Sama merasa sesama jiran

Monday, August 3, 2009

Kandang Kuda Dengkil

Buah ceri si buah lada
jatuh sebiji tersangkut kail
Pergi mencari kandang kuda
Di rimbun sawit di daerah Dengkil



Merentas hutan laluannya bengkok
Hawanya sejuk tubuh disapa
Kandang kuda jauh tersorok
Puas mencari akhirnya berjumpa


Sambil memandu mata memandang
Di kiri kanan berpagar besi
Walau lama masa terbuang
Tak terasa sunyi teman di sisi


Walau jauh berganda-ganda
Terik terasa dibakar mentari
Berpijak kaki dikandang kuda
Kuda galak berlari-lari


Kuda bukan sebarang kuda
Kuda terlatih melompat gelung
Kuda manja bergurau senda
Diri sendiri tidak tertanggung

Saturday, August 1, 2009

Tasik Nan Damai

Pagi hari berhimpun awan
Matahari sinarnya lemah
Si dia menanti dengan senyuman
Dunia ini ku rasakan indah

Salam dihulur disambut mesra
Senyum melirik membelai kalbu
Hati di dalam terasa gembira
Bagaikan mendapat restunya ibu

Tasik indah beriak kecil
Bayu bertiup damai terasa
Walaupun keras batu kerikil
Kaki berpijak tidak terasa

Sambil berjalan sembang bicara
Usik mengusik kata berbincang
Jalan dipijak terasa sutera
Bila berjalan dengan tersayang

Thursday, July 30, 2009

Thursday, July 23, 2009

Dari Coretan Rasa Hati

Batang keladi di tengah kota
Daunnya hijau redup pandangan
Salam diberi pembuka kata
Bicara tersusun madah disampaikan


Awan gelap langit pun mendung
Hujan turun berderai-derai
Ku tatap bulan ku kenang untung
Air mataku jatuh berderai-derai

Kereta api sudah berlalu
Senja tenang bewarna jingga
Berkata hati bermadah kalbu
Si dia dikenang kemana jua

Bintang kecil berkilau terang
Biru putih dilindung awan
Dagang kerdil di rantau orang
Rindu kasih menanggung rawan

Petir berdentum langit bergegar
Hujan renyai menimpa titi
Hati gelisah jiwa berdebar
Menanti-nanti jawapan yang pasti

Malam sunyi suasana hening
Damai terasa tidak terperi
Purnama dan bintang duduk bersanding
Ke mana awan membawa diri

Di sana bukit di sini lembah
Di atas bukit air bertakung
Badan ku lesu terasa lemah
Fikiran bercelaru semakin bingung

Cantik berukir dulang kencana
Di dalam terhidang madu secangkir
Adakalanya hati bertanya-tanya
Madah ku ajukan tidakkah terzahir

Minta gelang diberi gelang
Gelang bertatahkan intan permata
Minta dipandang diberi pandang
Di dalam pandangan tersemat cinta

Daun gugur dihembus bayu
Jatuh berselerak laksana hamparan
Kelopak hatiku gugur dan layu
Impian ku terkubur musnah harapan

Di mana penawar hati nan walang
Di hujung kerlingan di tabir senyuman
Di mana dia kekasih ku sayang
Di madah berbunga dihujung talian

Kalau intan terpendam di bumi
Keras intan kalah besi
Tanda pahlawan tahan diuji
Layak dipuji berani mati

Kalau intan dibawa berenang
Ikatkan intan ke sisi pinggang
Walau pahlawan sakit berjuang
Bara digenggam menjadi arang

Cenderawasih burung di awan
Anak menetas ibunya mati
Bercerai kasih merindu rawan
Bagaikan putus rasanya hati

Nyiur gading tinggi menjulang
Masak ketupat berisi inti
Hancur daging bercerai tulang
Belum dapat belum berhenti

Tali ditarik dicarik-carik
Buat mengikat si kain kasa
Hati tertarik kerana cantik
Sayang terikat dek budi bahasa

Langit cerah awan membiru
Dinihari embun pun jatuh
Sakit hati menanggung rindu
Di dalam air badan berpeluh

Kalau berhajat turun ke laut
Turunlah diwaktu bulan terang
Di mulut naga lagi direbut
Inikan pula di tangan orang


Biar patah tulang di badan
Biar kering darah mengalir
Tetap berjuang mancapai impian
Di hujung hayat itulah akhir

Pasar Payang di Kuala Terengganu
Beli keris panjang sedepa
Ramai orang di Negeri Terengganu
Cik adik manis juga abang nak jumpa

Tiba malam gelaplah jalan
Muncul siang disinar mentari
Pedang hitam dalam genggaman
Hati riang tidak terperi

Di pagi indah menuju selatan
Menempuh simpang berkali-kali
Pedang merah buat pasangan
Dipasar Payang tempat dibeli

Ambil seikat si daun sena
Untuk mengelap cincin pusaka
Mata redup seribu makna
Anak rambut jatuh ke muka

Bertiup bayu udara bersih
Angin berhembus bertukar badai
Wajahnya ayu bujur sireh
Jarinya halus tombak serai

Segala puncak tinggi menjulang
Puncak yang mana dinda berada
Senyum tidak alang kepalang
Senyum bermakna tersemat di dada

Lampu indah digantung rendah
Sinar cahaya sayang tak lama
Jeling sudah senyum pun sudah
Bolehkah saya bertanya nama

Daun sireh disusun orang
Di dulang perak bertingkat-tingkat
Menghulur kasih orang tak pandang
Hati ku sebak senyuman kelat


Lalang meliuk ditiup angin
Angin berpuput dari barat
Hati merajuk orang tak ingin
Lama diturut sayang tak dapat

Purnama berlalu sileh berganti
Musim bertukar berubah-ubah
Kekasih yang dulu tersimpan di hati
Kenangan berakar rindu tak sudah

Banyak memberi kurang meminta
Lembut bicara santun berbudi
Bagai mentari menyilau mata
Bagai udara menyokong sendi

Kasih diberi sudah berbalas
Janji setia berbagai-bagai
Meskipun seri sekali imbas
Bagai tak percaya hajat tak sampai

Kuntum melayang diangin lalu
Jatuh menimpa akar di bawah
Jangan dikenang perkara yang lalu
Kalau tak lupa membawa padah

Kuntum diidam disunting orang
Hias dipelamin sebagai suri
Jangan didendam kepunyaan orang
Sunting yang lain untuk sendiri

Banyak mekar kuntum di taman
Semuanya harum kelopaknya indah
Jangan digusar memikat rupawan
Si dia kagum pada yang tabah

Siang terbayang malam bermimpi
Ku tulis syair untuk pujaan
Kasih dan sayang tidak bertepi
Bagaikan air dalam lautan

Sinar suria dilindung awan
Sinar pancarannya berbilah-bilah
Berjanji setia bersaksi bulan
Sampainya masanya mengapa berubah


Tuan puteri intan permata
Raja Aceh pinang tak jadi
Hendak berbudi tidak berharta
Hendak berkasih orang tak sudi

Dari Kajang ke Inderapura
Ku daki banjaran Titiwangsa
Hatiku riang tidak terkira
Merantau di bumi warisan bangsa

Inderapura padang saujana
Gading diukir menjadi gerbang
Walaupun jauh diri berkelana
Hati ku damai tiada bimbang

Hutan menghijau kiri dan kanan
Pawana menerpa dingin terasa
Bandar Kuantan di hujung jalan
Menara masjid menjulang ke angkasa

Bunga Kemboja di dalam taman
Mari disunting di waktu malam
Walau apa pinta mu puan
Tetap ku carikan diseluruh alam

Ku tanam Kemboja ku semai harapan
Kuntumnya mekar hatiku girang
Kelopaknya gugur di laman jiran
Hati ku hiba apalah malang

Bayu menyapa membelai sendu
Diri terbuang dirantau orang
Bertahun tak jumpa hatiku rindu
Bersentuh bayang rindu ku hilang

Labuh pukat di air tenang
Layar kendur angin utara
Walau melihat sekilas pandang
Aku bersyukur di kau gembira

Ukir gelang corak dedalu
Dipakai puan masa menimba
Walau memandang seimbas lalu
Bagaikan bulan jatuh keriba


Hati terluka bermain cinta
Pedih bisanya tidak terperi
Di keris panjang ku abadikan cerita
Di pasar Payang di Bukit Puteri

Hati berbunga cinta berputik
Jiwa remuk kasih berkecai
Senjata ke genggam menjadi milik
Ku namakan keris “HAJAT TERCAPAI”

Kinabalu namanya gunung
Banyak unggas berbagai rupa
Biar hayat sampai ke hujung
Pada mu dinda takan ku lupa

Mengambang bulan di tengah malam
Bayu segar menyapa bumi
Budi tuan selebar alam
Terukir mekar di hati kami

Pantun Kuala Terengganu (2008)

Singgahsana bukit puteri,
Angin bertiup menderu-deru,
Pantai memutih cantik berseri,
Dihias gelombang laut membiru

Bukit puteri di tepi laut,
Meriam kembar menjaga kuala,
Indah pandangan hati terpaut,
Berkurun lama ingatan tak lupa

Tegak berdiri tiang bendera,
Dalam kubu bukit puteri,
Hati riang tidak terkira,
Tercapai hajat datang kemari

Patah pasak di dalam kemudi,
Patah di ruang bunga kiambang
Jikalau tidak bertemu lagi
Bulan terang sama dipandang

Dua tiga cincin di jari
Jari yang sebentuk sahaja dibilang
Dua tiga dapat dicari
Tidak sama bagai yang hilang

Kain batik berbunga-bunga
Tiga pasang di atas peti
Di mana tempat bermain bermanja
Jikalau tidak si jantung hati

Kerongsang emas kerongsang delima
Mana sama kerongsang berlian
Tikar emas bantal suasa
Mana sama berbantal lengan

Kain baldu kain makasar
Halus baldu baunya harum
Laut madu sungai bersakar
Haus tidak dapat diminum

Pucuk rebung teluk berantai
Nama diberi menambah seri
kain songket coraknya permai
direka penenun zaman bahari


merpati terbang kepak bersilang
turun ke bendang memakan padi
simpan di peti takutkan hilang
baik kusimpan di dalam hati

anak sawa sebesar lengan
meniti-niti di batang padi
hendak tertawa tiada berteman
senyum sedikit di dalam hati

Saturday, July 4, 2009

Bertiup angin sepoi bahasa

Lalang melata melenggok tarian

Bila pemimpin mabuk kuasa

Rakyat jelata menjadi korban
Siapa mahu pergi berhibur

Muda mudi asyik berdansa

Terlajak perahu boleh diundur

Terlajak undi harapan binasa
Istana lama indah dipandang

Sebagai bukti tersergam indah

Gajah sama gajah berjuang

Pelanduk mati ditengah-tengah

Thursday, July 2, 2009

Apakah tanda menjelang pagi

Burung kedidi kicau-kicauan

Bahasa bonda dijunjung tinggi

Benarkah menjadi penghalang kemajuan

Buah cempedak di luar pagar

Ambil galah tolong jolokkan

Saya budak baru belajar

Kalau salah tolong tunjukkan
Daun betik menitis getah

Terkena tangan jari terlekat

Hati berdetik hasrat tercurah

Mengotakan impian mencetuskan semangat